GAYA PENULISAN MENARIK

Contoh 1: Isu sosial
Apalah ertinya jika negara maju membangun, sedangkan kualitinya hidup bermasyarakat menyongsong arus pembangunan. Apalah maknanya pemodenan, sekiranya nilai-nilai murni sebagai peradaban bangsa tidak diletakkan seiring dengan agenda negara. Atas dasar itu, langkah Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Malaysia melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni amat bertepatan bersesuaian dengan tuntutan era globalisasi yang mewarnai dunia kini.

Contoh 2: Isu budaya
Rakyat Malaysia seharusnya menyahut dan mendukung kempen kerajaan ini demi melahirkan masyarakat yang berilmu dan berperibadi unggul. Dengan memupuk serta menghidupkan budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni kembali dalam kalangan masyarakat, secara tidak langsung kita telah dapat memenuhi prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu “kesopanan dan kesusilaan”.

Contoh 3: Isu sosioekonomi
Pada masa yang sama juga, orang Melayu harus berani melakukan perubahan sikap dan minda agar lebih terbuka, berdaya saing, dan tidak mudah selesa dengan keadaan yang telah sedia dinikmati. Bangsa Melayu perlu melakukan anjakan paradigma supaya segala dasar dan bantuan kerajaan untuk membantu orang Melayu lebih bermakna.