CANTIK BUDI, INDAH BAHASA

Yang kurik itu kundi, Yang merah itu saga, Yang cantik itu budi, Yang indah itu bahasa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Kepada anak-anak didikku 4 Berlian, selamat menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011 yang akan bermula pada 3 Mei 2011. Jawablah dengan bersungguh-sungguh. Semoga A+ Bahasa Melayu dalam genggaman anda. Selamat Berjaya.

TATABAHASA

Ayat Aktif dan Ayat Pasif

Ayat-ayat tunggal dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua ragam, iaitu ragam ayat aktif dan ragam ayat pasif. Ragam ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif.

Berikut ialah contoh ayat-ayat aktif :

1. Puan Nurul mengunci almari ( aktif transitif)
2. Pak Omar memotong rumput ( aktif transitif)
3. Saya menyemak karangan pelajar tersebut (aktif transitif)
4. Awak menaikkan bendera itu semalam ( aktif transitif)
5. Murid-murid tadika itu sedang bermain ( aktif tak transitif)
6. Hawa termenung sepanjang malam ( aktif tak transitif)

Ayat pasif pula terbentuk asalnya daripada ayat aktif transitif, dan mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Dalam ayat aktif, kata kerja aktif (kata kerja yang berimbuhan meN-... digunakan kecuali pada kata makan dan minum), manakala kata kerja pasif (kata kerja yang berimbuhan di-... bagi ayat pasif diri ketiga, dan kata kerja pasif diri pertama dan diri kedua (kata kerja yang tidak berimbuhan) digunakan dalam ayat pasif diri pertama dan diri kedua.


Berikut ialah contoh ayat-ayat pasif:
1. Almari dikunci oleh Puan Nurul.
2. Rumput dipotong oleh Pak Omar.
3. Karangan pelajar tersebut saya semak.
4. Bendera itu awak naikkan semalam.

SOALAN KEMAHIRAN BERFIKIR

CONTOH:

CERPEN


  • Punca pencemaran sungai

  • Langkah mengatasi pencemaran sungai / Langkah memelihara sungai daripada tercemar

  • Kesan pencemaran sungai

  • Sebab kempen tidak berkesan

PROSA



  • Kewajaran tindakan yang dilakukan oleh watak

  • Sekiranya anda watak tersebut, apakah tindakan yang anda lakukan?

  • Punca kegiatan lanun berleluasa

  • Langkah mengatasi masalah lanun

  • Kesan kegiatan lanun

PUISI



  • Kepentingan amalan berbudi

  • Cara memupuk amalan berbudi

  • Kesan mengamalkan / tidak mengamalkan amalan berbudi

PANDUAN MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN

1.0 Pengenalan
1.1 Soalan pemahaman terbahagi kepada 4 bahagian:
Soalan 2 (a) Pemahaman Petikan Umum
Soalan 2 (b) Pemahaman Petikan Prosa Moden ( Drama atau Cerpen)
Soalan 2 (c) Pemahaman Petikan Prosa Klasik
Soalan 2 (d) Pemahaman Petikan Puisi (Puisi Tradisional atau Sajak)

1.2 Pemarkahan
Soalan 2 (a) - 9 markah
Soalan 2 (b) - 9 markah
Soalan 2 (c) - 8 markah
Soalan 2 (d) - 9 markah

Jumlah markah - 35 markah

1.3 Bentuk Soalan
1.3.1 Terdapat 3 jenis soalan pemahaman SPM
Soalan pemahaman berdasarkan petikan / maksud rangkai kata
Soalan Kemahiran Berfikir
Soalan Komponen Sastera (Tema, Persoalan, Watak & Perwatakan, Nilai Murni / Nilai Kemanusiaan / Nilai Kemasyarakatan, Pengajaran)

1.3.2 Kata Kunci Soalan
Huraikan / Jelaskan / Terangkan – mesti ada contoh bagi setiap isi
Nyatakan / Sebutkan / Berikan – tidak perlu contoh
Apakah / Mengapakah / Bagaimanakah – tidak perlu contoh

RUMUSAN

PERKATAAN YANG SEERTI /SINONIM

faedah / kebaikan / kepentingan / manfaat / keistimewaan / kelebihan / keelokan / kesan positif / kemaslahatan
permasalahan / kekangan / halangan / rintangan / hambatan
cadangan-cadangan / syor-syor
langkah-langkah / usaha-usaha / cara-cara / tindakan-tindakan / inisiatif
faktor-faktor / punca-punca / sebab-sebab
peranan / tanggungjawab / fungsi
pengaruh / kesan / akibat / implikasi / natijah / akibat / keburukan
sikap / perbuatan / amalan