TATABAHASA

Ayat Aktif dan Ayat Pasif

Ayat-ayat tunggal dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua ragam, iaitu ragam ayat aktif dan ragam ayat pasif. Ragam ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif.

Berikut ialah contoh ayat-ayat aktif :

1. Puan Nurul mengunci almari ( aktif transitif)
2. Pak Omar memotong rumput ( aktif transitif)
3. Saya menyemak karangan pelajar tersebut (aktif transitif)
4. Awak menaikkan bendera itu semalam ( aktif transitif)
5. Murid-murid tadika itu sedang bermain ( aktif tak transitif)
6. Hawa termenung sepanjang malam ( aktif tak transitif)

Ayat pasif pula terbentuk asalnya daripada ayat aktif transitif, dan mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Dalam ayat aktif, kata kerja aktif (kata kerja yang berimbuhan meN-... digunakan kecuali pada kata makan dan minum), manakala kata kerja pasif (kata kerja yang berimbuhan di-... bagi ayat pasif diri ketiga, dan kata kerja pasif diri pertama dan diri kedua (kata kerja yang tidak berimbuhan) digunakan dalam ayat pasif diri pertama dan diri kedua.


Berikut ialah contoh ayat-ayat pasif:
1. Almari dikunci oleh Puan Nurul.
2. Rumput dipotong oleh Pak Omar.
3. Karangan pelajar tersebut saya semak.
4. Bendera itu awak naikkan semalam.